SEJARAH MASJID JAMEK PEKAN SUNGAI BULOH, DAN KEPERLUAN MASJID BAHARU.
"Amal jariah yang sangat kita dambakan ketika itu..."
Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh yang pertama dan tertua di Sungai Buloh ini mempunyai stuktur binaan bangunan lama dahulu. Setiap penjuru masjid menggunakan susunan papan sebagai bahan binaan utama.
Masjid ini dibina sekitar tahun 1960-an dan digunakan penduduk untuk berkumpul termasuk mengadakan majlis kenduri, tahlil, bertilawah dan pastinya menunaikan solat berjemaah.
Syiar Islam juga berkembang di kawasan ini atas jasa Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh yang dibina hasil usahasama penduduk kampung dan agamawan di sini.
Ramai yang membesar dan bersolat di sini, dari generasi terdahulu yang kini telah menjadi warisan untuk kegunaan generasi ke-3. Begitu lama masjid ini berjasa.
Ramai jemaah terpaksa menggunakan ruang-ruang yang ada termasuk kaki lima yang panas ketika menunaikan solat Jumaat.
Sungguhpun begitu, masjid ini tidak pernah dinaiktaraf secara keseluruhannya. Banyak fasiliti dan infrastruktur mulai rosak. Malah ruangannya juga semakin terhad untuk menampung pertambahan anak-anak kariah.
Jika dinaiktaraf akan menelan belanja yang lebih besar. Justeru satu masjid baharu yang perlu dibina dengan kadar segera untuk menampung keperluan kariah Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh.
Perlu RM3 Juta Untuk Proses Pertama Bina Masjid Baharu.
Lakaran plan pembinaan masjid baharu
Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh akan dibina semula di sebuah kawasan yang telah diwakafkan dan telah mendapat kebenaran pihak majlis perbandaran.
Usaha membina masjid baharu ini, untuk memastikan keselesaan buat para jemaah yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Malah, penduduk juga terpaksa memilih masjid dari kariah berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah yang jaraknya kira-kira 2.3 kilometer dari Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh.
Sebanyak RM3 juta diperlukan untuk proses merancang termasuk penyediaan plan, tolak tanah dan kerja-kerja awal. Namun anggaran kos untuk menyiapkan bangunan masjid baharu dengan pelbagai kemudahan fasiliti dan infrastruktur adalah sebanyak RM8 juta.
Hari ini, pihak jawatan kuasa pembangunan masjid telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM500, 000 sahaja dan belum boleh melaksanakan kerja-kerja perancangan tanah untuk dibangunkan masjid.
Pihak jawatankuasa pembangunan masjid memerlukan sumbangan orang awam dan semua pihak untuk melakukan kerja-kerja ini segera.
Warisan Kepada Generasi Akan Datang.
Masjid yang bakal dibina ini juga bukan sahaja untuk memberi keselesaan kepada penduduk hari ini, namun menjadi peninggalan untuk generasi akan datang.
Beruntunglah di antara kita memberi sumbangan berbentuk sedekah, infaq dan wakaf untuk pembinaan masjid yang bakal digunakan walaupun selepas kita meninggal dunia.
Pahala akan mengalir terus-menerus untuk kita di alam kubur nanti. Di alam kubur tiada apa yang ditunggu oleh kita kecuali amalan-amalan kebaikan yang kita lakukan ketika hidup.
Ayuh bersama kita mempercepatkan pembinaan masjid baharu Sungai Buloh ini dengan menghulurkan sumbangan walaupun serendah RM10 sahaja seminggu.
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.
Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."
Surah al-Baqarah: 261